Esplanade yang tidak mesra pengguna dan peniaga
SIPITANG,
April 11, 2011: Keadaan projek di Esplanade Sipitang begitu menghayat
hati apabila keadaan papan jeti telah rosak walaupun baru sahaja
disiapkan kira-kira tiga bulan yang lalu.
Ketua Pemuda SAPP, Nazib Maidan telah ke lokasi untuk meninjau sendiri
keadaan jeti Esplanade berkenaan selepas menerima banyak aduan daripada
pengunjung serta peniaga-peniaga gerai yang berdekatan.
Hasil tinjauan tersebut mendapati bukan sahaja papan jeti yang telah
rosak malah, sebahagian daripada tiang jeti telah mula condong. Tahap
keselamatan para pengunjung terutamanya kanak-kanak juga dipersoalkan
kerana pagar jeti menghala ke laut hanya dipagar dengan seutas dawai.
Nazib Maidan berkata, memandangkan projek berkenaan baru disiapkan maka
ianya masih berada dalam jaminan pemaju. Justeru itu, pihak Kerajaan
perlu mengambil tindakan yang sewajarnya dengan kadar yang segera
sebelum ada apa-apa kejadian yang tidak dingini berlaku.
Nazib
turut mempersoalkan rekaan Esplanade yang tidak mesra pengguna dan
peniaga. Sekiranya hujan atau cuaca panas, pengunjung tidak mendapat
perlindungan dan para peniaga terpaksa menggunakan khemah mudah alih
sebagai kaedah sementara sebagai pelindung kepada pengunjung.
Keadaan lantai antara gerai dan laluan Esplanade juga tidak dikonkrit
sepenuhnya menyebabkan persekitaran yang tidak selesa kerana meja makan
pelanggan diletakkan diatas tanah berkenaan.
Seorang peniaga Satay yang enggan namanya disiarkan berkata, mereka
menyewa lot gerai tersebut dengan kadar RM400 sebulan dan telah mulakan
perniagaan sejak 2 bulan yang lalu. Beliau terpaksa membeli khemah
tambahan kerana pelanggan yang berkunjung tidak mempunya atap berteduh
sekiranya hujan atau cuaca panas. Malang sekali sejak akhir-akhir ini
angin kencang sering bertiup sehingga khemah sementara rosak dan patah.
Projek
Esplanade Sipitang telah dibina dengan peruntukan 10 Juta dan kerja
pembinaan telah dimulakan dalam tahun 2008. Minggu lepas Ketua Menteri
Sabah, Datuk Musa Hj. Aman ada melawat ke Esplanade tetapi sehingga
hari ini belum ada apa-apa tindakan yang diambil.
Sehubungan itu, Pemuda SAPP menggesa agar pihak berwajib seperti
Pejabat Daerah dan Majlis Daerah Sipitang supaya sentiasa memantau
segala projek yang sedang berjalan agar kejadian seumpama ini tidak
berulang.
|