Betulkan fakta sejarah kemerdekaan Malaysia
Betulkan
fakta sejarah kemerdekaan Malaysia
KOTA KINABALU, 29 Ogos 2012: Kementerian Pelajaran digesa memperbetulkan
segera fakta sejarah tentang kemerdekaan Malaysia.
Ketua Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) Edward Dagul berkata, buku teks
sekolah terutamanya mata pelajaran Sejarah perlu menyatakan dengan jelas
fakta sebenar mengenai perkara itu.
"Tarikh negara ini mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia iaitu
pada 16 September 1963 adalah berbeza dengan tarikh Malaya mencapai
kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
"Tarikh sebenar Sabah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1963 juga
sepatutnya ada ditulis dalam buku teks supaya generasi muda dapat
membezakan diantara kemerdekaan Malaysia, Malaya dan Sabah.
"Selama ini hari kemerdekaan yang diraikan diseluruh Negara merupakan
tarikh kemerdekaan Malaya dan bukannya tarikh kemerdekaan Malaysia.
"Malaysia hanya wujud 49 tahun lalu tetapi Kerajaan Persekutuan meraikan
hari kemerdekaan kali ke-55 pada tahun ini.
"Perbezaan tarikh kemerdekaan diantara Malaysia dan Malaya adalah jelas
tetapi Kerajaan Persekutuan sengaja melakukannya kerana mempunyai motif
tersembunyi," kata Edward.
Beliau berkata, pembetulan tarikh kemerdekaan itu perlu dilakukan segera
supaya generasi akan datang tidak lagi salah tentang fakta sejarah
membabitkan kemerdekaan Malaysia, Sabah dan Malaya.
Katanya, tindakan 11 pemuda yang merakam gambar di pintu gerbang Istana
Negeri ketika majlis sambutan perayaan hari kemerdekaan Sabah pada 31 Ogos
1963 amat bermakna kepada rakyat di Negeri ini.
Katanya, para pemuda itu yang pada hari ini sudah menjadi warga emas
mengulangi tindakan mereka untuk memperingati hari kemerdekaan pada 31
Ogos 2012 bersamaan dengan usia Sabah yang mencapai 49 tahun.
"Kesemua mereka telah menyaksikan kemerdekaan Sabah pada 31 Ogos 1963 dan
juga pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
"Mereka layak untuk memberitahu kebenaran dan fakta sejarah yang betul
bahawa Sabah merdeka 49 tahun lalu. Hari Kebangsaan pada tahun ini juga
seharusnya diraikan untuk kali yang ke 49 dan bukan 55. Malaysia wujud 49
tahun yang lalu bukannya 55 tahun," katanya.
Beliau berkata, gambar itu akan menjadi sumber inspirasi kepada generasi
muda bahawa hanya rakyat Sabah sendiri boleh mempertahankan kedaulatan,
hak dan autonomi negeri ini.
Edward seterusnya berkata, hanya rakyat Sabah berupaya mempertahankan
fakta sejarah yang betul dan maruah Sabah.
Katanya, perayaan Sabah Merdeka 49 anjuran SAPP adalah satu usaha untuk
menegakkan kebenaran dan memperbetulkan sejarah yang dipesongkan Kerajaan
Persekutuan.
|